“Filem 2009” yang penuh dengan suka duka bakal melabuhkan tirainya, manakala “Filem 2010” bakal menyusul tidak lama sahaja lagi. Di kesempatan ini, saya ingin mengajak mahasiswa untuk menganalisis ”Filem 2009” yang telah memberi tamparan hebat kepada perkembangan Malaysia khususnya dan global amnya. Peristiwa-peristiwa dalam “Filem 2009” haruslah diamati dan dianalisis oleh mahasiswa yang bakal mewarisi tampuk pemerintahan Negara satu hari nanti.
Peristiwa terbesar yang menggugat semua lapisan masyarakat dunia adalah krisis ekonomi global dengan kejatuhan ekonomi Amerika Syarikat yang berganda. Banyak negara terkesan dengan krisis ini, malah Malaysia sendiri terpaksa membentangkan bajet mini bagi mengurangkan impak daripada krisis kewangan global. Mengikut Persidangan Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu Mengenai Perdagangan dan Pembangunan (UNCTAD) aliran keluar masuk pelaburan asing (FDI) di negara negara G20 susut sebanyak 10-13 peratus berbanding tahun 2007 dan trend ini berterusan sehingga 2009 yang telah membawa kepada pergerakan ekonomi yang suram.
Berikutan keributan ini, banyak perangkaan telah dibuat oleh pakar ekonomi bagi menangani krisis ekonomi global. Antaranya adalah mencadangkan sistem ekonomi konvensional yang digunapakai sekarang digantikan dengan sistem ekonomi Islam yang lebih telus dan jelas. Kemampuan dan kekuatan ekonomi Islam dapat menyumbang kepada daya maju dan tahan sesebuah ekonomi seterusnya dapat melangkah jauh kehadapan. Di Malaysia terbukti kemampuan ekonomi islam dapat berkembang maju walaupun sistem ekonomi islam yang diaplikasikan di Malaysia masih berada di tahap skala kecil. Nah! peristiwa dalam “Filem 2009” sebenarnya telah memaparkan keupayaan dan kemampuan Islam menerajui dunia global. Peristiwa ini sepatutnya menguatkan lagi semangat dan azam pelajar islam khususnya pelajar agama untuk mendalami ilmu islam. Lautan ilmu islam perlu diterokai untuk mempraktikkan islam dalam semua lapangan termasuklah bidang ekonomi dan sains, tidak terhad pada bidang-bidang agama sahaja.
Antara peristiwa terbesar lain yang dipaparkan dalam “Filem 2009” adalah bencana alam. Dunia sekarang sedang mengalami sakit tua sehinggakan terdapat saintis telah memberi andaian tarikh kehancuran dunia. Bagi seorang muslim, kita beriman dengan hari kiamat dan bilakah ia berlaku? terserah kepada Allah. Namun beriman dengan hari kiamat telah mengajar manusia supaya menjaga tingkah lakunya, tidak melakukan kerosakan di muka bumi samada sesama manusia atau dengan makhluk-NYA yang lain.Kerakusan nafsu manusia yang ingin mengaut keuntungan dunia adalah antara penyebab berlakunya musibah ini. Apa yang lebih parah lagi, para pendakwah daripada agama lain telah mengambil peluang terhadap bencana yang menimpa negara umat islam. Pendakwah-pendakwah ini berpenat lelah membeli hati umat islam, dalam masa yang sama pemimpin Islam yang lain diulit mimpi menikmati emas hitam.
Banjir di Malaysia sekarang telah menyebabkan kesempitan dan kepayahan hidup .Manakala di Indonesia dan Filipina pula diuji dengan pelbagai bencana alam yang lain. Peristiwa terbaru adalah gempa bumi yang berukuran 7.6 pada sekala Richter melanda Padang, Indonesia serta kejadian tragis taufan “Ondoy” yang mengakibatkan banjir besar di Metro Manila. Kejadian ini bukan sahaja merangut ribuan nyawa, malah kedua- dua negara tersebut, terpaksa memperuntukkan kewangan yang besar untuk membiayai bantuan akibat daripada kejadian ini. Dewan Perwakilan Filipina telah memperuntukkan AS$258 juta (RM903 juta) untuk Taufan di Filipina, begitu juga kerajaan indonesia terpaksa menanggung perberbelanjaan yang besar.
Secara tuntasnya, saya berharap peristiwa yang berlaku dalam “Filem 2009” dapat diambil pengajaran. Ramai yang mengangap hidup ini adalah sebuah lakonan. Maka, jadikankalh pentas lakonan itu sebagai iktibar.Oleh itu, banyakkan untuk diri memerhati dan menganalisis apa yang telah berlaku agar kita terus maju menjadi generasi ulul albab.
Ahmad Amiruddin bin Haji Ibrahim
Presiden Persatuan Mahasiswa Malaysia Universiti Mu’tah
Dinukilkan untuk Informan Majlis Perwakilan Pelajar Malaysia Jordan.





